Thursday, July 10, 2008

Perjalanan Bremen ke Pekan, Lebih 10,000 km., Lebih 12 jam.

9 Julai 2008, Bremen, Germany: Alarm jam berbunyi lantang ... terkejut aku. Jam 4 pagi. Aku bangkit dengan kegembiraan, dengan senyuman. Hari ini aku akan balik ke Malaysia. Alhamdulillah ... hari semalam yang begitu menggembirakan. Prof. Gessler telah bersetuju menerima draf final exposé. Tajuk tesis aku akan ditukar kepada ”The Contribution of Private Training Partnerships To Enhance National Dual Training System (NDTS) in Malaysia”. Malam sebelumnya aku dah email kepada beliau, Michael Metz, Prof. Spöttl, Prof. Gerds, Dr. N., dan Dr. Noraishah. Siap dengan action plan … summarized daripada perjumpaan akhir selama ½ jam, dari 5 ke 5:30 petang.

Hari ini aku akan kembali ke Malaysia setelah berada di German sejak 14 April yang lalu. Setelah balik dari Flensburg kena duduk kat Hotel Horner Eiche (tiga bintang) ni selama 5 malam. Setelah mandi, pakai baju dan solat subuh aku timbang beg. Beg besar cukup-cukup 20 kg. Beg kabin juga dekat-dekat 20 kg. Ada satu lagi beg ... beg notrebook. Besar sikit. Hampir sama besar dengan beg kabin. Semua beg aku bawa turun ke lobi hotel. Setelah berlegar-legar sebentardi lobi hotel, pergi ke luar hotel ... tinjauan akhir.

Hotel Horner Eiche Pada Awal Pagi

Pukul 6 pagi pembantu dari uni-bremen datang. Loading beg ke dalam van dan kami pun checkout dan beredar ke airport. Di airport jumpa sahabat-sahabat dari Terrhof. Check-in ok aje. Satu saja bagasi. Kemudian kami naik ke atas pemeriksaan keselamatan dan masuk ke ruang menunggu. Seketika datang seorang petugas memberitahu bahawa seorang hanya diizinkan boleh membawa satu beg kabin dan satu beg notebook. Dia kata beg notebook aku besar... itu dianggap satu beg. Jadi dua beg ... tidak diizinkan. Aku diarahkan turun semula ke bawah untuk semakan dikaunter. First semak timbang beg komputer aje dekat 20 kg. Dia kata kena bayar ... kerana berlebihan bagasi . 20 kg X 30 € = 600 €. Aku mengeluh panjang ... aku terpaksa menimbang untuk mengurangkan kepada satu beg. Kemudian dimintanya satu lagi beg ... itupun kena kurangkan.Ku cuba mengurangkan mana yang patut ... dan kembali semula .. timbang semula ... 12 kg. Digelengkan kepala ... aku kata “pleaseeee” ... “no” katanya. Cuba lagi mengurangkan yang lain ... semua makanan yang dijangka untuk dimakan di ruang menunggu bersama rakan-rakan terpaksa dibuang. Quran, dokumen dan blazer aku pegang ditangan. 10 talipinggang ... hampir 10 bungkus coklat ... 3@4 helai alas meja .. bersama beg komputer terpaksa ku tinggalkan ... sungguh terkilan ... Aku cadang nak bagi talipinggang tu kepada Ngah (anak lelaki aku) ...

Keceriaan kini bertukar muram ... aku terasa macam nak nangis ... bahkan aku rasa aku nangis ... hajatku tak kesampaian ...kepala ku sakit menahan sebak ... Sampai di Frankfurt semasa menunggu untuk bergerak ke KLIA baru ku perasan rupanya bukan itu aje yang aku tinggalkan. Aku rupa-rupanya tertinggal satu beg kecil yang amat penting yang mengandungi perbagai gajet notebook aku. Transformer notebook, charger telefon, cable LAN dan yang paling terkilan ... satu hard drive yang mengandungi pelbagai dokumen penting ... terutama gambar-gambar pembinaan Ilham Raudhah ... dan pelbagai dokumen lain yang tak ternilai oleh segunung emas ... oh tuhan ... terkedu aku di buatnya ... jiwaku meraung kuat ... kepalaku sakit menahan sebak ... namun tak tertahan juga ... aku nangis .... pandanganku hanya melihat skrin di depan mata ... yang menggambarkan maklumat perjalanan ... perjalanan yang melebihi 10,000 km dan memakan masa lebih dari 12 jam begitu menyeksakan ....

Skrin Yang Mencuri Pandangan

Hidangan tak terusik .. perutku kosong kemasukan angin ... oh tuhan ,,, ampuni daku ... kenapa dugaan ini dikenakan kepada ku ... tak tertanggung rasanya ... namun ingatan ku tidak putus kepada firman Nya ...Surah Al-Inshirah ..mafhumnya: “Bukankah kami telah melapangkan bagimu dadamu (wahai Muhammad)?; Dan kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu; Yang memberati tanggunganmu (dalam menyampaikan dakwah); Dan kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat nabi dan pelbagai kemuliaan); Oleh itu, maka (tetapkan kepercayaanmu) bahawa sesungguhnyan tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan; Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan; Apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain); Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah, hendaknya engkau berharap... “ Kini aku menaruh harapan. Meminta sesuatu diluar hukum akal dan hukum adat ... namun hatiku terusik juga ... tetap berharap hanya kepada Nya ...

Sampai di rumah, ku kabarkan kepada anak-anak dan isteri ... dan kami bersama-sama mengambil kesimpulan .... bukan rezeki kita ... suatu hari nanti kan diganti dengan yang lebih baik.oleh Allah.. Amin.

No comments: